Wednesday, June 24, 2009

Doa


Syurga buat mukmin

Alam syurga yang mana telah dijanjikan buat orang-orang yang beriman dan bertaqwa. Bukankah Allah S.w.t telah mengkhabarkan kepada kita : “ Dan pimpinlah orang-orang yang bertaqwa (memenuhi kewajiban) ke dalam syurga berbondong-bondong, sehingga apabila mereka mendatanginya, dibukakan pintu-pintunya, dan penjaga-penjaganya berkata: Selamat sejahtera untuk kamu! Kamu telah melakukan yang baik, maka masuklah kamu ke dalamnya buat selama-lamanya.” (Az-Zumar:73)


Doa
Ya Allah,
Lindungilah aku dari kesesatan dunia,
Demi akhirat yang kekal abadi.
Ya Allah,
Jauhilah aku dari pengaruh buruk yang mungkin tidak aku sedari,
Untukku menjadi seorang muslimah yang diberkati.
Ya Allah,
Jadikanlah aku isteri yang solehah,
Suami yang soleh serta zuriat yang terpuji.
Ya Allah,
Kurniakanlah aku rezeki yang halal dan kesihatan yang baik,
Agar aku dapat terus sujud menghadap Illahi.
Ya Allah,
Kuatkanlah iman dan taqwaku,
Terimalah amalanku, terimalah taubatku..
Sesungguhnya aku berlindung dari azabmu Ya Allah..
Berkatilah segala yang telah kau turunkan kepadaku..
Ya Allah,
Aku memohon belas kasihan dari-Mu,
cucurilah rahmat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w serta keluarga dan para sahabatnya
Juga buat arwah ibuku, keluargaku serta seluruh muslimin dan muslimat sekalian..
Amin ya rabbal A'lamin..




Tuesday, June 23, 2009

Semalam, hari ini dan esok


Puasa

Semalam,saya berpuasa lagi. Bimbang juga dengan keadaan badan yang tidak menentu kebelakangan ini. Ada rasa pening, sakit perut, loya dan muntah juga ketika di pejabat. Nasib baik sempat ke tandas. Abi kata, "mungkin baby dalam tu dok lompat-lompat kot"..haha, kelakarla.
Tapi alhamdulillah, saya berjaya menympurnakan puasa semalam hingga masuknya waktu maghrib.
Sempat juga memasak menggunakan air tangan sendiri untuk suami walaupun tiba lewat di rumah. Dapat juga kusajikan abi dengan hidangan sup ayam, udang goreng kunyit serta timun dan sambal belacan.

Sabar dan Redha
Pengalamanku sekarang mengajarku untuk lebih bersabar dan memberi lebih makna dalam kehidupan.
Perasaan bagaimana rasanya apabila mengetahui ada makhluk kecil didalam perutku. Kadangkala abi yang lebih ambil berat kerana posisiku duduk atau baring tidak sesuai. Kini saya lebih berhati-hati dalam menjalankan aktiviti harian, sedikit berbeza dengan saya yang sebelum ini yang agak sedikit kasar. Namun, kadangkala saya agak terkilan apabila teringat pada arwah mama yang pergi sebelum sempat melihat cucunya. Setiap kali teringat akan arwah, saya akan menyedekahkan surah fatihah dan berdoa untuknya. Semoga Allah sentiasa memelihara arwah ibuku..Amin.

Rejab dan Ramadhan
Rabu ini insyallah akan masuklah kita ke bulan Rejab dan masih ada kira-kira 59 hari sebelum tibanya Ramadhan, bulan yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam. Insyallah, marilah kita bersama-sama berpuasa sunat 1 Rejab nanti. Bagaimana agaknya Ramadhan pertamaku disamping abi sebagai seorang isteri. Semoga Ramadhan kali ini penuh dengan keberkatan-Nya dan semoga kami dapat menunaikan amal sebanyak yang boleh. Semoga saya juga dapat berpuasa seperti biasa dan semoga saya, abi, keluarga dan semua umat Islam sejahtera hendaknya..amin.




Selamat Hari Bapa



"Selamat Hari Bapa, Ayah"

Teringat kembali waktu kecil dahulu. Ayah menjaga dan melayan 4 orang anak perempuannya. Aku selalu tertanya bagaimana agaknya perasaan ayah kerana tiada anak lelaki dalam keluarganya. Aku juga masih teringat yang ayah pernah menjawab dengan gurauan kepada kawannya yang namaku Fadil ketika aku dibawa keluar bersamanya waktu kecil dahulu. Aku juga pernah gemar berpakaian seperti budak lelaki ketika kecil dahulu.

Ketika kecil dahulu, aku sering mengikut ayah menaiki motorsikalnya samada ke kedai, pasar atau ke mana saja. Akan tetapi ayah tidak mahu membawa adik, mungkin kerana dia masih kecil dan agak leceh untuk dibawa bersama. Adik pula pantang apabila tahu yang ayah mahu menaiki motornya. Yang lucunya, untuk mengelakkan adik mengikut sama, ayah akan menyuruhku tunggu di hujung jalan dan kemudiannya dia akan mengambilku di sana.

Ayah juga pernah memiliki motor vespa, motosikal yang pada mulanya amat malu untuk aku naiki bersama. Aku menggelarkan motor itu "motor kerbau". Tapi adik sangat suka menaiki motosikal itu bersama ayah. Ketika di sekolah rendah, ayah akan menghantar dan mengambilku di sekolah setiap hari. Sungguh besar jasa ayah..Terima kasih ayah..

Friday, June 19, 2009

Jumaat yang Barakah


Sedih
Terasa pilu apabila membaca kisah
Allahyarham Muhammad `Ammar bin Zulkifli yang telah pulang ke Rahmatullah akibat kemalangan di Mesir tempoh hari. Semoga Allah mencucuri Rahmat ke atas Roh Allahyarham..Amin~ dan semoga keluarga dan sahabat arwah dapat menghadapi pemergian arwah dengan redha dan tabah.Saya juga sempat membaca blog Allahyarham di http://kalam-puncak.blogspot.com/. Sebuah blog yang menarik, terutama tentang kehidupan arwah sebagai pelajar ketika di Mesir dahulu. Juga menemui photopages arwah di http://kalampuncak.fotopages.com/.

Checkup
Alhamdulillah, pemeriksaaan doktorku di KPMC pada rabu malam yang lepas berjalan lancar.
Doktor memberitahu kandunganku kelihatan normal dan memberi nasihat supaya banyak-banyak berdoa kepada Allah agar semuanya baik-baik sahaja. Pemeriksaan seterusnya pada bulan depan. Doakan saya ya..

Puasa
Semalam saya memutuskan untuk berpuasa sunat Khamis + puasa ganti yang tinggal beberapa hari yang masih belum sempat untuk ditunaikan. Insyallah lagi 63 hari sahaja sebelum munculnya Ramadhan. Pada mulanya rasa tidak berapa yakin kerana keadaan diri yang kadangkala pening dan muntah-muntah tapi Alhamdulillah, perut tidak berasa lapar langsung hinggalah pulang dari kerja. Lagi pun kurang penat kerana suami menghantar dan menjemput saya dari pejabat ekoran kesesakan jalan yang teruk ketika waktu pulang. Walaupun tahu bahaya menunggang motosikal, suami berhati-hati bagi mengelakkan dari terlanggar lubang kerana bimbang akan keselamatan kandungan. Walau macamanapun, saya lebih selesa menunggang motosikal kerana perjalanan lebih cepat dan jimat. Kasihan juga pada suami kerana terpaksa berpatah balik kerana pejabatnya di Putrajaya..Semoga kami sentiasa dilindungi-Nya, Amin..Semalam dia mengajar saya 1 perkataan baru, a.s.k. (aku sayang kamu) hihi..Terima kasih ya abi..



Tuesday, June 16, 2009

Syukur


Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum w.b.t
Hari ini terasa untuk membuat blog yang baru
memikirkan kata-kata indah untuk dikongsi bersama
semoga kelahiran blog ini dapat memberi manfaat bersama
Insyallah..


Allah kabulkan doaku
Perjumpaan dengan pakar ginekologi minggu lepas begitu menyentuh hatiku
sehinggakan tidak terkeluar air mata
Menurut doktor kandunganku tidak membesar seperti biasa dan degupan jantungnya tidak kelihatan semasa imbasan dibuat
Ketika itu hanya Allah sahaja yang tahu betapa risaunya aku.
Mengikut perkiraan, kandunganku hampir mencecah 10 minggu tetapi saiznya masih lagi seperti 7 minggu, sama seperti saiz ketika diperiksa 2 minggu lepas.
Aku memberitahu kakakku, sekadar ingin berkongsi dan dia memberitahu aku masih muda dan sabar sekiranya apa yang dinyatakan doktor itu benar.
Oleh kerana terlalu risau, aku cubauntuk mengaturkan pertemuan dengan beberapa doktor pakar yang lain dalam masa yang terdekat tetapi semuanya penuh
Kemudiannya aku dan suami memutuskan untuk melakukan pemeriksaan di klinik biasa sahaja yang terletak berhampiran dengan rumah kami pada awal pagi sabtu lalu
Alhamdulillah, kelihatannya kandunganku normal sahaja dari segi saiz dan degupan jantungnya.
Leganya masyallah..
Balik sahaja dari klinik aku terus melakukan solat syukur tanda terima kasihku kepada Allah
kerana aku berdoa setiap masa agar aku dan kandunganku sentiasa dilindungi oleh-Nya
Kadangkala terasa seronok, risau, kurang selesa dan juga kurang sabar
Walaubagaimanapun syukur pada Illahi di atas kurnian-Nya
Semoga diri dan kandunganku sentiasa sihat dan terpelihara

Diri berasa syukur tak terhingga kerana dikurniakan seorang suami yang amat memahami
Walaupun diri serba kekurangan, tambahan pula dalam keadaan kesihatan yang tidak menentu, dia tetap sabar dengan karenahku.
Alhamdulillah..
Terima kasih abi..
Saya ingin menjadi isteri solehah, bakal bonda yang mithali, anak yang baik dan diberkati
Amin...



anggaran kandungan 10 minggu melalui imbasan